Friday, 20 November 2009

Kedah bermula garang - Bola Sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009



Kedah bermula garang - Bola Sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009
AKSI antara Selangor dan Masum dalam saingan Kumpulan A Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 di Stadium Kajang semalam.
JUARA treble Liga Malaysia musim lalu, Kedah memulakan kempen pada Kejohanan Bola Sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja dengan penuh bergaya melalui kemenangaan 2-0 keatas Perak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang petang semalam.
Diperkuat lima pemain utama Liga Super, Kedah memecah kebuntuan pada minit ke-16 melalui sentuhan Mohd. Naim Yusof.
Perak yang turut mendapat khidmat pemain Liga Super cuba bangkit memburu gol penyamaan, namun beberapa deretan peluang dipersiakan jentera serangan mereka.
Empat minit sebelum tamat perlawanan, pemain skuad Liga Super Kedah, Mohd. Faizal Abu Bakar meledak gol kedua pasukannya untuk selesa mendahului 2-0.
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan A di Stadium Kajang, pertemuan Selangor menentang Masum berlangsung dalam suasana tegang apabila dua pemain dilayangkan kad merah.
Turun sebagai pasukan jempu- tan serta sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Sukan Universiti ASEAN tahun depan, Masum bermula garang melalui gol jaringan Asyraf Md. Asri pada minit ke-18.
Terkejut dengan gol awal lawan, Selangor bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-46 melalui jaringan R. Kalaiselvam untuk menamatkan saingan separuh masa pertama dengan 1-1.
Kelincahan Asyraf Md. Asri menjadi 'duri dalam daging' buat benteng Selangor apabila dia kembali menggegar gawang untuk gol kedua Masum pada minit ke-59.
Begitupun Selangor kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-70 melalui bekas pemain Liga Super Terengganu, Badrul Afzan Razali.
Permainan selepas itu berlangsung agak tegang sehingga menyaksikan dua kad merah dilayangkan kepada pemain Selangor Mohd. Imran Muhammad dan pemain Masum, Nur Shafiq Ahmad pada minit ke-80.
Pada satu lagi perlawanan Kumpulan A di Kompleks Sukan MPKJ, Bangi, Kuala Lumpur seri 2-2 menentang PDRM.
Juara bertahan, Kelantan yang beraksi menentang ATM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas ATM.
Bekas pemain kebangsaan dan pasukan Liga Super Terengganu musim ini, Azlan Ismail meledak kedua-dua gol Kelantan pada minit ke-37 dan dan 80. Namun, sebelum itu ATM lebih dahulu membuka jaringan melalui Faizal Abdul Azizi pada minit ke-14.

Thursday, 5 November 2009

Penyokong Kelantan perlu patuh arahan

Tiga ahli kelab penyokong wakaf Che Yeh, Shafawi Che Soh (kiri), Othman Yaacob (tengah) dan Zulkifli Yaacob membotakkan kepala sebagai tanda sokongan Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meminta lebih 60,000 penyokongnya yang akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil supaya mengawal emosi dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka perlu menjaga nama baik Kelantan ketika perlawanan tersebut berlangsung dan membuktikan bahawa penyokong negeri ini adalah yang terbaik.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan lebih 60,000 penyokong Kelantan dari seluruh negara akan membanjiri stadium tersebut esok.
''Patuhilah segala peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan jagalah nama baik Kelantan sepanjang perlawanan itu nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 1001 tiket menyaksikan perlawanan akhir itu kepada pelajar sekolah di Majlis Sukan Negeri Kelantan di sini, semalam.
Anuar berkata, KAFA telah mendapat kebenaran FAM menjual 56,000 tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut bagaimanapun kesemuanya telah habis dijual.
"Kita telah meminta tambahan tiket dan FAM telah memberikan kebenaran kepada kita menjual lagi sejumlah tiket bagaimanapun ia masih tidak mencukupi kerana permintaan yang tinggi dari para peminat bola sepak negeri ini.
"Saya berharap mereka yang tidak mendapat tiket boleh membelinya secara terus daripada kaunter di stadium pada hari pertandingan," katanya.
Sementara itu, Anuar berkata, KAFA telah menyewa khas kereta api untuk membawa kira-kira 1,500 penyokong dari negeri ini memandangkan kesemua bas telah habis ditempah.
"Kereta api ini adalah tempahan khas dan diluar jadual biasa. Ia akan bertolak ke Kuala Lumpur pada pukul 12 tengah malam Jumaat dari Tumpat dan bertolak balik pada pukul 2 pagi keesokannya.
"Tren khas ini akan membawa peminat setia kita dan tetamu khas termasuk 1001 sekolah ini," katanya.

Zamri macam tak percaya

Oleh Harris Rajahdin
UMPAMA mimpi menjadi kenyataan, penampilan Mohd Zamri Ramli pada pentas final ketika baru berusia 19 tahun, seakan sukar dipercayai melihatkan pertahanan itu baru menyarung jersi skuad senior musim ini. “Saya sebelum ini memang pernah mengimpikan untuk beraksi di final dalam stadium besar di depan ribuan penyokong. “Tahun lalu saya berada dalam pasukan Piala Presiden dan tahun ini mewakili skuad senior. Saya sebenarnya tidak percaya semuanya berlaku kepada saya dalam masa yang begitu singkat,” katanya.
Pemain kelahiran Pasir Mas itu akan menjadi pemain paling muda buat pasukan Kelantan tetapi tetap memiliki keyakinan tinggi, berbekalkan nasihat kapten, Indra Putra Mahayuddin yang disemat dalam sanubarinya. “Saya sentiasa melihat pemain senior sebagai inspirasi. Indra Putra memberitahu kepada saya ‘Jangan kita takut beraksi di depan penyokong ramai, awak pemain muda, tunjukkan bakat anda’,” katanya. Gelaran juara Piala Malaysia jelas satu lonjakan besar dalam kerjayanya, dengan dirinya sebelum ini berbangga dengan trofi Piala Belia.

Ramalan Final Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil


Jurulatih masa depanPulau Pinang, Ahmad Zoon Ismail meramalkan Kelantan menang 2-1 ke atas N. Sembilan yang akan berlanjutan hingga ke masa tambahan

Ramalan Final Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil

Mohd. Azraai Khor Abdullah, yang kini menjadi Jurulatih Harimau Muda juga meramalkan Kelantan akan memenangi perlawanan esok, kerana memiliki gandingan serangan yang mantap terutamanya Indra, Khalid Jamlus, Norfarhan dan juga Che Hishamuddin Hassan.


Dalam pada itu, Jurulatih Selangor, K. Devan memilih Kelantan akan muncul sebagai juara berikutan mereka mempunyai pemain seperti Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin yang mampu untuk menentukan perlawanan.

Ramalan Final Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 November 2009


Jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim.
"Saya rasa kalau mana-mana pasukan menang pun mereka hanya akan mencatat kemenangan tipis mungkin 2-1 atau 1-0 tetapi saya berat kepada Negeri Sembilan kerana mereka mempunyai kekuatan yang sempurna di setiap posisi," katanya.

Ramalan Final Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 November 2009


Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid pula memilih Negeri Sembilan kerana pasukan itu sentiasa konsisten sepanjang saingan peringkat kumpulan.
"Bagaimanapun kedua-dua pasukan berjaya mencapai tahap prestasi pada masa yang tepat," katanya yang meramalkan Negeri Sembilan menang 2-1.

Ramalan Final Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 November 2009


Jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris pula berkata: "Saya memilih Negeri Sembilan akan muncul juara dengan jaringan
2-1, mereka mempunyai kekuatan yang stabil di setiap posisi berbanding Kelantan yang hanya mengharapkan sokongan padu peminat mereka."

Ramalan Final Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil


Sementara itu Jurulatih Pahang, Dollah Salleh menggangap kekuatan kedua-dua pasukan ialah 50-50 dengan Negeri Sembilan dilihat utuh dari setiap posisi manakala Kelantan akan bergantung kepada sokongan padu penyokong mereka.

Wednesday, 4 November 2009

Kelantan memang layak ke final – Irfan Bakti

Pasukan Kelantan meraikan kemenangan sekali gus melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menewaskan pasukan Perlis 3-1 menjadikan agregat 5-1 di Stadium Utama Negeri di Kangar, kelmarin. – UTUSAN/Faizal Abu Hassan
KANGAR – “Kelantan memang layak ke final.” Itulah perkataan pertama diungkapkan ketua jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim ketika ditemui selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Utama Negeri di sini, malam kelmarin.
Ungkapan pendek itu sebagai menghargai kehebatan skuad pelawat yang layak ke perlawanan akhir menerusi agregat 5-1 untuk bertemu Negeri Sembilan merebut Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 7 November ini.
Ditanya maksud ungkapan tersebut pula, Irfan Bakti menyatakan, skuad Pantai Timur itu patut layak kerana memiliki beberapa kelebihan, terutama berkunjung ke Perlis berbekal dua gol.
“Mereka datang dengan kelebihan 2-0. Ia memaksa kami mencari tiga gol. Saya tidak nampak kesukaran buat Perlis mendapat tiga gol, tetapi kami mesti mencari gol awal. Namun begitu, kesilapan pertahanan membuatkan mereka mencipta jaringan minit ke-26 menerusi Mohd. Nor Farhan Muhammad.
“Itu gol mudah. Apabila Kelantan dapat satu, ia terus menekan mental pemain Perlis kerana mereka perlu mencipta empat gol. Bermula dari situlah permainan mereka nampak semakin longgar,” ujarnya.
Irfan Bakti turut mengakui aksi skuadnya di gelanggang sendiri malam kelmarin tidak menyamai kehebatan seperti yang dipamerkan sewaktu beraksi di tempat lawan, Selasa lepas.
“Perlawanan di sini jadi terbalik. Di Kota Bharu kami beraksi cemerlang walaupun kalah, manakala Kelantan sebaliknya. Di sini pula Kelantan yang cemerlang walaupun kami memaksa mereka berkubu,” ujarnya sambil mengucapkan tahniah buat skuad lawannya itu.
Jurulatih Kelantan, B. Satianathan pula percaya kejayaan menumpaskan Perlis adalah hasil kesungguhan pemain dan pengurusan skuad itu sendiri.
“Walaupun sudah menang 2-0 di Kota Bharu, tetapi saya mengarahkan semua pemain mengawal minda masing-masing. Ini kerana, mereka pasti berdepan dengan asakan bertubi-tubi skuad Singa Utara.
“Jangkaan saya ternyata benar. Kami dipaksa bertahan sepanjang 90 minit. Ketiga-tiga gol yang diperolehi itu pula adalah hasil serangan balas sahaja,” ujarnya sambil mengakui pintu gol Kelantan sepatutnya dibolosi oleh lima lagi jaringan skuad tuan rumah.
Lima gol yang terlepas buat Perlis itu ialah pada minit ke-22 menerusi Mohd. Badrul Azam Zamri, minit ke-40 dan 52 oleh Mohd. Firdaus Faudzi, dan minit ke-43 dan 78 melalui Amar Rohidan.
Kelima-lima peluang keemasan itu tidak menyebelahi tuan rumah kerana pemain gagal melepaskan rembatan ke sasaran walaupun pintu gol sudah terbuka ketika dalam kotak penalti dan cuma berdepan dengan penjaga gol lawan, Mohd. Halim Napi.
Dalam perlawanan itu, penyerang utama Kelantan, Indra Putra Muhyidin tidak diturunkan kerana digantung satu perlawanan ekoran menerima dua kad kuning.
Satianathan juga mengakui salah satu daripada percaturan taktikalnya ialah tidak meletakkan pemain kebangsaan, Muhammad Khalid Jamlus dalam kesebelasan utama.
Katanya, apabila Khalid menggantikan Zul Yusri Che Harun minit ke-62, pemain lawan mula mengepung pemain itu kemudian seperti mengabaikan jentera lain, sehingga ia membuka jalan kepada pemain Kelantan mengatur gerak dan mengumpan bola kepada Mohd. Nor Farhan mencipta hatrik.
Dalam perlawanan separuh akhir kedua itu, Kelantan menang 3-1 menerusi jaringan hatrik Mohd. Nor Farhan minit ke-26, 53 dan 87, sementara gol tunggal Perlis melalui, Mohd. Firdaus minit ke-70.
Dengan keputusan tersebut, Kelantan layak ke perlawanan akhir menerusi agregat 5-1, selepas menang 2-0 di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, Selasa lepas.
Sabtu ini, Kelantan akan bertemu Negeri Sembilan bagi merebut Piala Malaysia selepas lawannya itu menundukkan Terengganu 3-1, di separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, juga malam kelmarin.
Oleh BAZLI ABDUL RAHMANutusanperlis@utusan.com.my