Monday 26 October 2009

Separuh akhir lebih terbuka

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Dua tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-43 menjadi rebutan terbuka dan seimbang buat Kelantan, Perlis, Negeri Sembilan dan Terengganu dengan ketiadaan Selangor pada separuh akhir pertama, malam ini.
Namun, Si Rusa yang masih belum kalah selepas lapan perlawanan termasuk peringkat kumpulan, kini mengambil alih tumpuan Gergasi Merah sekali gus berpeluang agak cerah untuk terus merapati trofi teragung bola sepak negara ini.
Biarpun kemaraan tiga daripada mereka tidak mengejutkan kerana cuma mengatasi barisan kelab, tetap menonjol dalam kelompok empat terakhir ini ialah kemampuan Si Penyu menjinakkan Merah Kuning dengan bertemankan sedikit tuah dan ketumpulan penyudah lawan.
Jika juara Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super boleh tersungkur di Kuala Terengganu, bukan mustahil giliran anak buah Wan Jamak Wan Hassan menurut jejak kecundang itu apatah lagi lawan mempunyai kelebihan bermain lewat di gelanggang sendiri, Sabtu ini.
Segala rekod pertemuan Liga Super dan peringkat kumpulan lalu yang menyebelahi Negeri Sembilan sekadar boleh dibuat rujukan dan terus mematangkan kedua-dua pasukan tetapi yang paling menarik ialah pertembungan dua pemain muda yang menjaga gawang masing-masing.
Hanya satu gol membolosi Farizal Harun sepanjang Piala Malaysia dan Sharbinee Allawee begitu cemerlang, Sabtu lalu lantas yang seronok pastilah jurulatih negara K. Rajagobal menjelang Kelayakan Piala Asia 2011 (November) dan Sukan SEA Laos, Disember ini.
Lebih banyak pilihan penjaga gol yang mantap, bakal meningkatkan persaingan dan benteng terakhir skuad senior dan bawah 23 tahun Malaysia biarpun mungkin kurang menyenangkan penjaga gol Perlis, Farizal Marlias yang sekian lama menyandang posisi utama.
Malah, ketika Negeri Sembilan kian berbangga dengan ketajaman Zaquan Adha Radzak selaku antara penjaring terbanyak Piala Malaysia setakat ini, Terengganu pula menjanjikan seorang lagi bakal gandingan serangan Malaysia di Laos, Abdul Manaf Mamat.
Singa Utara pula perlu menyedari kehebatannya mengatasi Johor FC di Pasir Gudang dan Kangar dengan agregat selesa 4-1 tidak akan meniti rentak yang sama tatkala mengharungi Kelantan dan 'lautan merah' ribuan penyokong setianya di Stadium Sultan Muhamed IV.
Rasa terkilan dan bimbang Irfan Bakti Abu Salim pasti bercampur baur gara-gara kehilangan perancang tengah Perlis, Azi Shahril Azmi yang dilayangkan kad merah di Stadium Utama Negeri sekali gus digantung daripada kedua-dua perlawanan separuh akhir sehingga Sabtu ini.
Yang mampu menjadi penawar buat jurulatih naib juara Liga Super ini ialah kembalinya sentuhan penyudah pemenang Kasut Emas, Nizaruddin Yusof apatah lagi kemampuannya mencari gol menerusi tandukan, Sabtu lalu walaupun sesekali mengecewakan dengan kegagalan penalti.
Jelas sekali, keserasian Kelantan dengan percaturan B. Sathianathan turut diperkuatkan pengalaman jurulatih itu ketika mendidik bintang Wira Merah seperti Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Ahmad Azlan Zainal dalam skuad negara lalu.
Tanpa Azi yang jarang diabaikan Sathianathan dalam persediaan skuad kebangsaan, jurulatih kelahiran Perak yang menyarung jersi Negeri Sembilan pada era 80-an ini semakin arif bagaimana untuk melumpuhkan bahagian tengah lawan dan meraih bekalan gol yang selesa dari Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment